
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya pada 23 Okt lepas, di Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan Ops Cantas yang telah berjaya menahan suspek serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu polis.
“Syabas, pasukan Ops Cantas Bukit Aman telah berjaya tangkap pembunuh/perompak kejam AmBank di Johor pagi ini. Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu PDRM,” katanya dalam laman Twitter rasminya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata bertindak atas maklumat Pasukan Cantas Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), polis menahan suspek berkenaan pada kira-kira 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi
“Polis percaya dengan penangkapan suspek itu, kes berkenaan berjaya diselesaikan,” katanya.
Dalam kejadian 23 Okt lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan.
Mangsa telah bekerja selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan ‘pump gun’ oleh suspek.
Suspek melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000.
Sementara itu, suami mangsa Irwan Kamaruddin berpuas hati dengan kejayaan polis memberkas suspek.
Irwan, 37, ketika dihubungi Bernama berharap suspek dikenakan hukuman setimpal.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada polis kerana menangani kes itu sehingga selesai,” katanya.
Ditanya mengenai kehidupan keluarga serta anak-anaknya, beliau berkata kehidupannya seperti biasa namun sunyi tanpa isterinya. – BERNAMA