Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata lelaki tersebut yang dikenali sebagai "Joemar" dipercayai menunggu di luar bank bagi membantu pengawal keselamatan berusia 35 tahun itu melarikan diri selepas merompak RM450,000 dari bank itu 23 Oktober lepas.
Joemar dipercayai tinggal di negara ini lebih setahun dengan menetap di Klang dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat lain dan tidak bertugas mengawal institusi perbankan, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata polis sedang menjejaki warga asing itu dan meminta orang ramai yang ada ternampak suspek menghubungi polis dan menambah kata orang awam telah memainkan peranan mereka dalam membantu polis memberkas suspek utama kes berprofil tinggi itu dalam tempoh 19 hari.
Suspek utama itu diberkas polis kira-kira pukul 7 pagi Ahad lepas di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Mohd Shukri juga berkata pump gun, tiga butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang ditemui polis semalam dalam sebuah longkang di Taman Industri Sungai Penaga, Subang Jaya merupakan senjata yang digunakan dalam rompakan dan pembunuhan itu.